mutakhir

Diasuh kreatif

Oleh Mohd Nasif Badruddin

Biarpun berdepan pelbagai kekurangan terutama dari segi kemudahan asas, ia bukan penghalang buat guru Sekolah Menengah Agama (SMA) Maahad al-Ehya Asshariff, Gunung Semanggol, Perak melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) kerana mereka dilatih supaya kreatif menggunakan apa saja benda yang ada di sekeliling.

Bagi guru Sains Siti Jamaliah Ahmad yang mula mengajar di sekolah itu enam tahun lalu, ketiadaan makmal bukan penyebab untuk tidak melakukan eksperimen mengikut sukatan pelajaran ditetapkan.

Katanya, pada awalnya mereka melakukan eksperimen di tempat terbuka seperti kawasan lapang sekitar sekolah, kantin dan perpustakaan menggunakan peralatan disediakan.

“Eksperimen ini perlu dilakukan walaupun di luar makmal kerana ia sebahagian daripada sukatan pelajaran sekali gus memberi kefahaman yang lebih kepada mereka.

“Walaupun sekolah aliran agama, pelajar di sini amat berminat mengikuti subjek Sains dan eksperimen dijalankan malah mengambil bahagian dalam setiap aktiviti diadakan,” katanya.

Menurutnya, selepas beberapa ketika barulah SMA Maahad al-Ehya Asshariff mempunyai makmal sendiri dan beberapa kemudahan berkaitan seperti sekolah lain sekali gus melengkapkan sukatan pelajaran ditetapkan.

Katanya, mengajar di sekolah agama mempunyai kelebihan tersendiri kerana pelajarnya lebih mudah faham apa yang diajar kerana mereka menghafal al-Quran dan patuh ajaran Islam.

“Hafalan al-Quran dan faham agama yang menjadi keutamaan pelajar di sini memudahkan mereka untuk belajar ilmu lain seperti Sains dan pelbagai lagi,” katanya.

Beliau yang juga Penasihat Kelab Robotik berkata, apa yang membanggakannya pelajar sekolah itu muncul juara dalam pertandingan robotik terbuka peringkat negeri dan mewakili Perak ke peringkat kebangsaan pada 2015.

Katanya, dengan hanya bermodalkan RM8,000 dan baru dua tahun ditubuhkan, SMA Maahad al-Ehya Asshariff melakar sejarah baru dalam pertandingan berprestij yang didominasi sekolah berasrama penuh itu.

“Malah tidak banyak sebenarnya sekolah agama yang menyertai pertandingan robotik ini kerana ia memerlukan modal besar serta kreativiti pelajar dan SMA Maahad al-Ehya Asshariff satu-satunya Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) yang berjaya mara ke peringkat kebangsaan ,” katanya.

Menurutnya, sejak itu ramai pelajar berminat dengan subjek Sains dan menyertai Kelab Robotik malah mereka sering menyertai pelbagai pertandingan berkaitan.

“Bagi meneruskan kecemerlangan ini, kita sudah pun mendaftar untuk menyertai pertandingan robotik pada Ogos depan dan sedang berusaha mencari dana bagi menghasilkan rekaan terbaik,” katanya.

Disiarkan pada: May 28, 2017 @ 3:36am
d