mutakhir

Tak sedar kereta terbakar

Oleh Mohd Hilmie Hussin

KEMERIAHAN malam pertama di Bazaar Ramadan Hang Tuah Mall di Melaka dikejutkan dengan kebakaran kereta , 10.45 malam tadi.

Difahamkan, kereta dipandu lelaki dikenali sebagai Tan, 30an, melalui Jalan Hang Tuah sebelum tiba-tiba terbakar.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, PBK II Nor Azmil Otsman berkata, pihaknya menerima panggilan pada 11 malam dan tiba di lokasi tiga minit kemudian.

"Kita berjaya mengawal api dalam masa dua minit namun kebakaran memusnahkan 70 peratus kereta itu," kata Nor Azmil, yang mengesahkan operasi membabitkan tujuh anggota termasuk pegawai.

Menurutnya kebakaran tidak membabitkan kemalangan jiwa dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Sementara itu, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Asmad Elias yang bertugas di bazaar terbabit memberitahu, dia ternampak api kecil di tayar hadapan kiri kereta terbabit ketika melalui jambatan berhampiran bazaar sebelum seorang lagi anggota RELA menahan kereta itu berhampiran persimpangan Jalan Tun Ali, meminta pemandunya keluar dan memberitahu kebakaran yang berlaku.

Disiarkan pada: May 28, 2017 @ 10:00am
d