mutakhir

Kasihannya Puntung...

Oleh Junaidi Ladjana

BADAK sumbu Sumatera betina dikenali sebagai Puntung kini dalam keadaan kritikal akibat kanser sel skuamus atau kanser kulit.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD), Augustine Tuuga berkata, bengkak di pipi kiri Puntung semakin parah dan dua biopsi sudah dilakukan selepas pembedahan mendedahkan penyakit dialami Puntung.

"Puntung disahkan menghidap kanser sel skuamus iaitu kanser kulit selepas pembedahan dan dua biopsi dilakukan namun penyakit itu merebak dengan pantas sejak beberapa minggu lalu. Pakar dari beberapa negara juga bersetuju bahawa ia akan membawa maut.

"Sehingga hari ini, Puntung tidak lagi bernafas melalui lubang hidung kiri malah badak betina itu kini berada dalam kesakitan dan keadaan kesihatannya bertambah merosot.

"Kami tiada pilihan untuk mencari alternatif lain kecuali bersetuju dengan nasihat perubatan profesional dan kita diberi kuasa untuk membenarkan euthanasia (mencabut nyawa secara perlahan untuk menamatkan seksa kerana penyakit)... ini adalah satu keputusan sukar untuk dibuat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Augustine berkata, walaupun belum pasti tetapi euthanasia ke atas Puntung dirancang akan dilakukan pada 15 Jun ini.

Puntung adalah tiga badak sumbu Sumetera terakhir di Malaysia yang ditangkap pada 2011 dan pernah cuba dibiakkan dengan seekor lagi badan jantan dinamakan Tam.

Namun gagal disebabkan masalah dalam sistem pembiakannya.

Badak sumbu Sumatera mempunyai jangka hayat 35 tahun dengan usia Puntung ketika ini kira-kira 25 tahun.

Disiarkan pada: May 28, 2017 @ 2:36pm
d