mutakhir

Nilai arus elektrik lebih bahaya

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

PENGGUNAAN powerbank yang tidak mempunyai sistem perlindungan litar pintas mampu menyebabkan kematian sekiranya berlaku litar pintas ketika digunakan walaupun ianya tidak bersambung pada punca suis elektrik.

Pensyarah Kanan Jabatan Elektrik Kuasa, Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi Malaysia, Dr Jasrul Jamani Jamian berkata, kematian boleh terjadi disebabkan pengaliran arus pada jantung akibat litar pintas di dalam power bank.

"Ramai orang salah anggap, mereka menjangkakan voltan rendah seperti 12 Volt itu tidak mungkin membunuh, sedangkan hakikatnya voltan tidak menyebabkan kematian sebaliknya nilai arus yang mengalir pada jantung yang boleh menjadi punca maut."

"Sebagai contoh, 2.1 Ampere merupakan nilai purata keluaran arus normal bagi powerbank sedangkan nilai arus litar pintas boleh melebihi 100 Ampere sekiranya berlaku di dalam powerbank.

“Hanya diperlukan arus elektrik 0.5 Ampere pada jantung untuk membawa maut.

"Thermal runaway berlaku dalam masa amat singkat dan apabila bersentuhan dengan badan, ianya boleh mengakibatkan kesan melecur pada kulit serta kesan yang lebih teruk"

"Sebab itu, masyarakat tidak digalakkan meletakkan powerbank berhampiran dengan tubuh bagi mengelakkan kecederaan akibat litar pintas serta tidak terpengaruh dengan harga powerbank yang terlalu murah kerana dikuatiri tiada sistem perlindungan litar pintas," katanya ketika dihubungi Harian Metro di Melaka, hari ini.

Beliau mengulas laporan Harian Metro hari ini mengenai remaja lelaki, 19, maut dipercayai terkena renjatan elektrik daripada telefon bimbit yang sedang dicas menggunakan powerbank di Taman Merbok, Bukit Baru, Melaka, Jumaat lalu.

Dalam kejadian 8.10 pagi, Syamirul Armizie Adenan, 19, ditemui meninggal dunia di bilik tidur oleh ibunya, Suriah Rahim, 48, dengan kesan kulit melecet pada bahu kiri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim dipetik berkata, kejadian disedari ibunya yang menemui mangsa terbaring sambil menggunakan fon telinga bersambung pada telefon pintar yang dalam keadaan bercas pada powerbank.

Laporan itu kemudian turut mencetuskan pertikaian dalam kalangan netizen termasuk mempersoalkan bagaimana sebuah powerbank bervoltan rendah boleh menyebabkan kematian.

Disiarkan pada: May 28, 2017 @ 3:07pm
d