mutakhir

Pertukaran guru 'duka lara' paling ramai

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

KEMENTERIAN Pendidikan meluluskan sebanyak 2,825 atau 13.8 peratus permohonan pertukaran guru bagi Jun 2017 daripada jumlah permohonan keseluruhan 20,470 orang.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, daripada jumlah permohonan itu 11,766 permohonan bagi sekolah rendah manakala sekolah menengah sebanyak 8,704 orang.

Menurutnya, alasan permohonan pertukaran guru paling banyak adalah bagi kes guru 'duka lara' sebanyak 6,635; tempoh berkhidmat (4,126); permohonan bersama (3,655); sakit kronik (674); ancaman keselamatan (139) dan lain-lain alasan (5,241).

"Daripada jumlah permohonan itu kementerian meluluskan 2,825 orang membabitkan 1,824 sekolah rendah dan 1,001 bagi sekolah menengah.

"Permohonan yang diluluskan membabitkan pertukaran guru 'duka lara' paling ramai iaitu 2,261; ; tempoh berkhidmat (168); permohonan bersama (166); sakit kronik (37); ancaman keselamatan (15) dan lain-lain alasan (178).

"Kementerian juga ingin menjelaskan bahawa pertimbangan kelulusan pertukaran itu juga mengambil kira kepentingan kelas peperiksaan serta opsyen kritikal seperti Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam di sekolah rendah serta Bahasa Melayu di Sekolah Menengah," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas menghadiri Taklimat Pertukaran Guru Bulan Jun 2017 di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Padang Terap, hari ini.

Disiarkan pada: May 28, 2017 @ 3:48pm
d