mutakhir

Padah miliki 30 jerat

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

DUA lelaki warga Kemboja masing-masing dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini kerana memiliki 30 jerat dipercayai untuk menangkap hidupan liar di kawasan Taman Negara Terengganu.

Bukan itu saja, tertuduh, Sukri Ali, 32, dan Shien Bon Them, 28,turut berdepan hukuman penjara tiga bulan lagi sekiranya mereka gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan itu dibuat Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz selepas dua tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 29 (1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama-sama memiliki 30 jerat di Hutan Taman Negara Terengganu di daerah Hulu Terengganu jam 6 petang pada 21 Mei lalu.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Terengganu, Wan Harmizi Wan Jusoh manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Disiarkan pada: May 28, 2017 @ 4:03pm
d