mutakhir

Tuntut hutang, dipukul sampai mati

Oleh Junaidi Ladjana

PENJUAL sayur warga Indonesia maut dipukul menggunakan objek keras oleh kenalannya ketika menuntut hutang di rumah kenalannya itu di Kampung Tanjung Aru, Labuan, petang semalam.

Mayat Yahudin Sahib, 54, ditemui dalam keadaan tertiarap dengan kesan lebam di bahagian muka dan berlumuran darah di mulut pada 8.40 malam.

Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Adzhar Othman berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 2 petang selepas jiran suspek terdengar orang bergaduh dan suara mengerang kesakitan.

"Pada jam 8.40 malam itu, jiran itu kemudian melihat melalui tingkap rumahnya dan terkejut apabila seorang lelaki tertiarap dalam keadaan cedera dan tidak sedarkan diri.

"Jiran itu kemudian segera menghubungi polis untuk memaklumkan perkara berkenaan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Menurutnya, sepasukan polis tiba dan menemui seorang lelaki dalam keadan tertiarap dan disahkan sudah meninggal dunia.

"Hasil siasatan polis berjaya membermas suspek yang bekerja sebagai nelayan turut di lokasi kejadian.

"Punca kejadian dipercayai mangsa sering menuntut hutang dengan suspek sebanyak RM500 lalu berlaku pergaduhan.

"Mangsa dipukul dengan objek keras sehingga kecederaan lebam di bahagian muka dan darah dari bahagian mulut mangsa," katanya.

Tambah Adzhar, suspek berusia 54 tahun kini diremen untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Disiarkan pada: May 28, 2017 @ 6:38pm
d