mutakhir

Pintu masuk negara dipantau rapi

Oleh Helmy Abd Rahman

SEMUA pintu masuk ke negara ini sedang dipantau rapi dan berada dalam kesiapsiagaan tinggi bagi mengelakkan menjadi lokasi sasaran militan Daish untuk mencari perlindungan kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Kuala Nerus, hari ini.

Beliau berkata, ada kemungkinan anggota kumpulan militan itu mahu melarikan diri menjadi buruan di negara jiran seperti Filipina dan Indonesia.

"Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui PDRM (Polis Diraja Malaysia) memantau dengan dekat jika ada kemungkinan mereka (militan Daish) yang mahu lepas lari dari Marawi, Mindanao (Filipina) atau Indonesia dan Bangkok cuba masuk ke negara ini.

"Sehubungan itu, kita pastikan semua pintu masuk ke negara ini berada dalam kesiapsiagaan tinggi termasuk lorong tikus yang dipantau Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) dan APMM (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia)," katanya pada sidang media pada Program Penerapan Nilai-Nai Murni Timbalan Perdana Menteri bersama warga KDN, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman; Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Sementara itu, Khalid mengesahkan enam individu dipercayai terbabit dalam aktiviti kumpulan pengganas Daish, ditahan dalam operasi selama empat hari sejak 23 Mei lalu oleh Bahagian Antipengganas Cawangan Khas, Bukit Aman, berada dalam senarai syak PDRM.

Disiarkan pada: May 28, 2017 @ 8:37pm
d