mutakhir

Panggil beri penjelasan esok

Oleh Helmy Abd Rahman

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) akan memanggil Ketua Pengarang The Star esok untuk memberi penjelasan terhadap muka depan akhbar berbahasa Inggeris itu yang didakwa tidak sensitif kepada umat Islam di negara ini.

Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata, pihaknya juga tidak teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya terhadap akhbar terbabit sekiranya tidak berpuas hati penjelasan yang diberikan.

"Kita amat dukacita dengan tindakan akhbar berkenaan memaparkan gambar umat Islam sedang menunaikan solat Terawih pada malam pertama Ramadan sambil tajuk muka depannya 'Malaysian terrorist leader'.

"Atas sebab itu, esok kita akan memanggil ketua pengarang akhbar berkenaan untuk memberi penjelasan dan sekiranya jawapan diberikan tidak memuaskan hati, kita akan kenakan tindakan termasuk mengeluarkan surat tunjuk sebab," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Program Penerapan Nilai-Nilai Murni Timbalan Perdana Menteri bersama warga KDN, di Kuala Nerus, hari ini.

Disiarkan pada: May 28, 2017 @ 8:50pm
d