mutakhir

Peruntukan RM1.5j atasi banjir kampung lulus

Teluk lntan: Peruntukan sebanyak RM1.5 juta sudah diluluskan Kerajaan Pusat bagi melaksanakan projek tebatan banjir, baik pulih jalan, parit dan saliran di jalan Kampung Bahagia, di sini yang sering dilanda banjir kilat setiap kali musim hujan.

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong yang juga Ahli Parlimen Teluk lntan berkata, peruntukan itu susulan rayuan daripada Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Bahagia sejak tahun lalu dan baharu sekarang permohonan itu diluluskan.

“Saya sudah meninjau dan melawat lokasi yang mudah berlaku banjir serta melihat keadaan jalan dan parit yang mengalami kerosakan sejak 2014.

“Dengan peruntukan yang diluluskan kerajaan, diharap dapat menangani masalah dialami penduduk,” katanya ketika berucap sempena Majlis Penyerahan 3,000 kampit beras kepada 1,800 penduduk Kampung Bahagia, di sini semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jong, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin.

Siew Keong berkata, adalah menjadi tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat untuk sentiasa memantau dan segera mengatasi masalah penduduk.

Beliau turut mengumumkan kampung berkenaan akan menerima bangunan baru yang berniliai RM30 juta yang bakal digunakan menjelang Disember ini.

Sementara itu, Ketua Kampung Bahagia, Khairul Hisyam Adnan berkata, dia mewakili kira-kira 16,000 penduduk berterima kasih kepada kerajaan kerana meluluskan peruntukan bagi projek tebatan banjir, baik pulih jalan dan saliran di kampung itu.

Disiarkan pada: May 29, 2017 @ 10:59am
d