mutakhir

Amal dua sistem [METROTV]

Oleh Mohd Nasif Badruddin

Madrasah Irshad al-Ashraf al-Watniah di Sungai Bakap, Pulau Pinang antara institusi agama di negara ini yang melaksanakan dua sistem pengajian serentak iaitu sebagai Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan pondok tradisional.

Malah, puluhan pondok yang menjadi kediaman pelajar remaja dan warga emas tersergam kukuh di kawasan seluas satu hektar selain bangunan asrama moden untuk pelajar SAR.

Pengetuanya Ustaz Ab Aziz Yusoff, 63, berkata, madrasah yang turut dikenali dengan nama Pondok Sungai Bakap itu dibangunkan bapanya Tuan Guru Haji Yusoff Saad bersama dua saudaranya iaitu Haji Husin Haji Ali dan Haji Abd Halim Haji Husin pada 23 Januari 1953.

Katanya, sistem pembelajaran di madrasah terbahagi kepada dua iaitu umumi membabitkan pengajian kitab turath dan nizami membabitkan pengajian daripada silibus al-Azhar di dalam kelas.

“Pada awalnya madrasah ini mengajar secara tradisional meliputi pengajian talaqqi kitab, al-Quran dan tajwid serta kelas celik jawi dan fardu ain.

“Kemudian madrasah ini mewujudkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2001 dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pada 2002 kepada pelajarnya sekali gus membolehkan mereka menyambung pelajaran ke institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara,” katanya.

Menurutnya, kebiasaannya pondok didiami pelajar dewasa dan warga emas manakala pelajar remaja di SAR akan tinggal di asrama.

Katanya, dulunya hampir 60 peratus pelajar memasak sendiri di pondok sama ada secara individu atau berkongsi dengan beberapa rakan, namun kini ramai makan di kedai berhampiran.

“Madrasah kini mempunyai 550 pelajar dari usia 13 hingga 25 tahun dan 300 pelajar warga emas dari seluruh negara di bawah bimbingan 26 guru,” katanya.

Ab Aziz berkata, selain mengikuti kelas akademik, pelajar mengikuti kelas umumi bersama warga emas dan penduduk setempat bagi mendapatkan ilmu tambahan.

Menurutnya, kelas umumi biasanya diadakan selepas solat fardu dan menjadi tempat rujukan serta tiada sebarang had umur.

“Kecantikan madrasah ini juga ialah pelajar boleh melangkau kelas naik ke tahap seterusnya sekiranya cemerlang dalam peperiksaan.

“Walaupun dihimpit arus kemodenan, namun suasana pondok tradisional masih diterima di sini dan mendapat bantuan pelbagai pihak terutama orang ramai dan kerajaan.

“Malah, tahun lalu, madrasah ini menerima peruntukan RM300,000 untuk membangunkan pondok lama,” katanya.

Katanya, seiring transformasi dalam bidang pendidikan, guru perlu berfikir serta mengajar mengikut peredaran zaman seperti menggunakan bahasa yang mudah difahami dan tidak terlalu mengikut bahasa lama seperti dalam kitab.

Menurutnya, beliau berharap pelajar di madrasah itu dapat menjadi guru murshid yang mengajar generasi akan datang apabila tamat belajar.

“Amalan dan nasihat ayah dulu ialah apabila kamu mengajar, kamu akan mengajar orang lain.

“Ilmu ini sangat luas dan kita kena mahir ilmu sampingan lain berkaitan agama seperti contoh ilmu faraid (pembahagian pusaka) dan ilmu falak (astronomi) memerlukan mereka yang pandai matematik sebelum membuat sebarang keputusan atau kajian,” katanya.

Disiarkan pada: May 29, 2017 @ 11:50am
d