mutakhir

Jambatan rentas Sungai Terengganu dibuka

Oleh Helmy Abd Rahman

JAMBATAN merentasi Sungai Terengganu melalui Pulau Sekati yang menghubungkan Kuala Terengganu dengan Kuala Nerus akan dibuka keseluruhannya secara rasmi 19 Jun ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, laluan menghubungkan Losong ke Pulau Sekati dan Teluk Pasu dibuka kepada orang ramai mulai hari ini manakala laluan antara Jeram Tok Kong ke Banggol Tuan Muda pada 19 Jun.

"Keseluruhan laluan lebih enam kilometer ini akan dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada 19 Jun iaitu sebelum Aidilfitri ini. Kita jangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar raya ini," katanya di Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu Ir Ab Hamid Md Daud.

Ahmad Razif berkata, setakat ini nama rasmi bagi jambatan itu belum diputuskan lagi.

Jambatan yang menelan belanja RM245 juta itu mula dibina pada 2012 namun tertangguh daripada jadual asal berikutan masalah pengambilan balik tanah yang berlarutan.

Masalah itu bagaimanapun dapat diselesaikan dengan baik hasil rundingan kerajaan negeri dengan penduduk setempat.

Disiarkan pada: May 29, 2017 @ 6:25pm
d