mutakhir

Doktor didakwa cuba auta JPJ

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

DOKTOR didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini, atas dua pertuduhan memperdaya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Doktor itu didakwa kononnya melakukan pemeriksaan kesihatan terhadap dua individu yang memohon untuk memperbaharui lesen vokasional (JPJ L8), 14 Februari lalu.

Tertuduh, S Samuel Kumar, 59, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu dan minta untuk dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim S Indera Nehru.

Samuel Kumar didakwa memperdayakan JPJ bahawa dia melakukan pemeriksaan kesihatan terhadap Mohd Firdaues Azizan, 34, sehingga mendorong jabatan itu memperbaharui permohonan.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa atas pertuduhan sama namun membabitkan individu berbeza iaitu Hasrol Hissam Osman, 41.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukannya di Klinik Parit Buntar, Jalan Pasar Pekan Lama, Parit Buntar, antara 10.15 pagi hingga 3.40 petang, 14 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 28(1)(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Indera Nehru kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Selian itu, mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdekatan kediamannya sekali sebulan.

Pendakwan dijalankan Timbalan Pendakwaraya SPRM, Nurul Wahidah Jalalluddin manakala tertuduh diwakili peguam Sudesh Singh.

Kes akan disebut semula 14 Jun ini.

Disiarkan pada: May 30, 2017 @ 10:22am
d