mutakhir

2 sindiket curi motosikal tumpas

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

POLIS Pulau Pinang menumpaskan dua sindiket curi motosikal dan menahan lima lelaki di Tasek Gelugor dan Nibong Tebal, 25 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, kedua-dua sindiket dikenali Geng Syahir dan Geng Pak Tam yang bergiat dalam kegiatan curi motosikal sejak April lalu.

Beliau berkata, polis menyerbu rumah di Tasek Gelugor, Seberang Prai Utara pada 25 Mei lalu dan menahan dua lelaki berusia 21 dan 23 tahun yang dipercayai anggota Geng Syahir.

Katanya, pemeriksaan lanjut menemui pelbagai peralatan mencuri motosikal dan komponen motosikal telah dileraikan. Kedua-dua mereka mengaku mencuri beberapa motosikal sekitar Timur Laut sejak April lalu.

"Motosikal yang dicuri kemudian dibawa balik ke rumah di Tasek Gelugor sebelum dileraikan dan rangka motosikal dibuang ke dalam Sungai Dato Keramat, Tasek Gelugor," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) di Georgetown, hari ini.

Anuar berkata, polis kemudian membongkar satu lagi sindiket curi motosikal membabitkan Geng Pak Tam di Tasek Gelugor, Sabtu lalu apabila menahan lima lelaki berusia antara 19 hingga 21 tahun.

Beliau berkata, kelima-lima suspek mengaku mencuri beberapa motosikal di daerah imur Laut dan Barat Daya sejak Januari sebelum menjual beberapa komponen motosikal yang telah dileraikan sebelum rangka motosikal dibuang ke dalam Sungai Keroh dan Sungai Jarak, Tasek Gelugor.

Katanya, hasil siasatan yang dilakukan polis kemudian menemui kembali 47 rangka motosikal di dalam sungai berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu curi motosikal.

"Sekiranya sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang setahun atau melebihi tujuh tahun atau denda," katanya.

Disiarkan pada: May 30, 2017 @ 1:58pm
d