mutakhir

Dalang 'parcel scam' dicekup

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

POLIS menahan tiga lelaki Afrika selepas disyaki terbabit dalam kegiatan ‘parcel scam’ dalam serbuan di sebuah rumah di Mutiara Heights, Kajang, hari ini.

Serbuan 1.25 pagi itu dijalankan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya selepas menerima laporan berhubung kegiatan kumpulan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Muhammad Azlin Sadari berkata, warga Afrika berusia lingkungan 30 tahun itu dikesan menipu seorang wanita pada Ogos tahun lalu.

"Mangsa berusia 42 tahun itu menerima panggilan telefon kononnya barangan yang dihantar oleh kenalannya sudah sampai namun mempunyai masalah dengan pihak kastam.

"Mangsa diminta untuk memasukkan wang tunai ke dalam akaun yang diberikan sindiket bagi tujuan melepaskan barangan berkenaan," katanya.

Muhammad Azlin berkata, mangsa memasukkan wang tunai berjumlah RM32,498 akibat terpedaya dengan sindiket penipuan itu.

"Hasil siasatan awal mendapati semua suspek mengaku menjalankan kegiatan itu,"katanya.

Disiarkan pada: May 30, 2017 @ 3:42pm
d