mutakhir

Tradisi menanak bubur lambuk diteruskan

Oleh Hamzah Osman

HOTEL milik kerajaan negeri, Hotel Adya Langkawi (HAL) di sini, meneruskan tradisi memasak dan mengedarkan 1,000 bungkus bubur lambuk setiap hari sepanjang Ramadan sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Pengerusi Permodalan Kedah Berhad (PKB) Hotel Management & Services, Nor Saidi Nanyan berkata, program itu adalah aktiviti tahunan sepanjang Ramadan sejak dua tahun lalu yang dinantikan setiap penduduk setempat.

"Keistimewaan bubur lambuk yang dimasak dalam tiga kawah oleh kakitangan HAL ini adalah menggunakan gabungan 10 rempah ratus istimewa.

"Sebanyak 1,000 bungkus bubur lambuk habis diedarkan dalam tempoh 45 minit mulai jam 4 petang setiap hari sejak awal Ramadan lalu," katanya ketika mengetuai acara mengedarkan bubur lambuk di pekarangan HAL di Langkawi, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah berkata, pihak pengurusan dan kakitangan hotel amat terharu dengan sambutan orang ramai yang datang dan sanggup beratur untuk mengambil bubur lambuk yang diedarkan setiap hari

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Abdul Rahman Din dan Pengurus Besar HAL, Razmi Rahmat.

Disiarkan pada: May 30, 2017 @ 5:47pm
d