mutakhir

Panik loceng kecemasan berbunyi

Oleh Norizuan Shamsuddin

PENGUNJUNG pusat beli-belah Mid Valley, Bangsar, panik apabila loceng kecemasan berbunyi secara tiba-tiba akibat kebakaran bilik di tingkat tiga pasar raya dalam bangunan terbabit, 8.20 malam hari ini.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani berkata, pihaknya menerima panggilan awam memaklumkan loceng kecemasan di pusat beli-belah terbabit berbunyi, jam 8.24 malam.

Katanya, sembilan anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba Pantai dikerahkan ke lokasi bagi pemeriksaan.

"Hasil pemeriksaan mendapati bunyi loceng kecemasan datang dari sebuah pasar raya di dalam pusat beli-belah itu dan terdapat bau asap.

"Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kebakaran berlaku di sebuah bilik di tingkat tiga pasar raya terbabit dan anggota berjaya memadamkan kebakaran itu.

"Siasatan lanjut berhubung punca kebakaran masih dijalankan oleh Bahagian Penyiasatan kebakaran," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Disiarkan pada: May 30, 2017 @ 11:26pm
d