mutakhir

Asisten Superintendan bebas dengan jaminan [METROTV]

Oleh Siti A'isyah Sukaimi

KETUA Bahagian Siasatan Jenayah daerah di Melaka yang direman berhubung kes mengutip wang daripada pengusaha pusat judi haram dan pusat urut di Melaka dibebaskan dengan jaminan RM50,000.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan suspek berpangkat Asisten Superintendan itu dibebaskan ketika prosiding di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Suspek berusia 51 tahun itu sebelum ini ditahan reman tujuh hari bermula 25 Mei lalu dan tempoh reman itu tamat pada hari ini.

Selain suspek, tiga orang awam yang sebelum ini dibebaskan Ahad lalu, dilanjutkan tempoh reman dua hari bermula esok sehingga 2 Jun.

Reman terhadap tiga individu itu adalah bagi siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Pada 17 Mei lalu, tiga individu terbabit ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes siasatan kegiatan mengutip wang daripada pengusaha pusat judi haram dan pusat urut di beberapa lokasi di Melaka.

Pada 28 Mei lalu, mereka dibebaskan dengan jaminan sebanyak 100,000 setiap seorang.

Disiarkan pada: May 31, 2017 @ 11:43am
d