mutakhir

Penguatkuasa KPDNKK direman

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

DUA penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) direman selama lima hari di Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini selepas dipercayai meminta dan menerima rasuah RM8,000 untuk menutup kes pada 2014.

Kedua-dua suspek berusia 34 dan 35 tahun itu tiba di mahkamah pada 10 pagi berpakaian baju lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Majistret Siti Hanum Mohamad Sah kemudiannya membenarkan kedua-dua suspek direman bermula hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Sumber SPRM berkata, kedua-dua suspek yang bertugas sebagai Pembantu Penguatkuasa dan Penolong Penguatkuasa itu ditahan pada 10.45 malam semalam di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Katanya, kedua-dua suspek dipercayai meminta dan menerima wang rasuah berkenaan daripada seorang peniaga berusia 44 tahun.

"Wang sebanyak RM8,000 itu dipercayai sebagai balasan untuk menutup kes yang berlaku pada 2014 membabitkan kesalahan menjual arak tiruan di dua premis," katanya.

Disiarkan pada: May 31, 2017 @ 12:01pm
d