mutakhir

Kuih berdarah

Oleh Omar Osman

Sungai Petani: “Saya sedang menyediakan juadah berbuka puasa sebelum dimaklumkan jiran suami terbabit dalam kemalangan,” kata Salmiah Ahmad, 65, isteri kepada Mohd Saad Ismail, 66, yang maut selepas motosikalnya terbabas dan merempuh tiang telefon, kelmarin.

Kejadian pada jam 6.50 petang di Jalan Kampung Padang Buloh, Sidam Kiri, di sini, ketika mangsa dan rakannya, Sainon Ismail, 80, menunggang motosikal Honda Wave untuk pulang ke rumah selepas membeli kuih di bazar Ramadan berhampiran jambatan Sungai Muda.

Salmiah berkata, sebelum kejadian arwah suaminya baru pulang dari masjid dan mahu berehat selepas mengadu sakit kepala, tetapi didatangi rakan baiknya dikenali sebagai Bai lalu mengajaknya ke bazar Ramadan pada jam 6 petang.

“Pada mulanya arwah tidak mahu pergi namun dia mengalah dengan menaiki motosikal bersama Bai (Sainon). Pada jam 6.55 petang, jiran datang beritahu mereka kemalangan.

“Saya bergegas ke tempat kejadian bersama anak, tetapi apabila sampai saya tengok arwah kaku di atas rumput. Tidak sangka baru empat hari berpuasa arwah pergi buat selama-lamanya namun saya reda dengan ketentuan Allah,” katanya.

Seorang saksi mahu dikenali sebagai Lan berkata, kejadian berlaku 100 meter dari rumah Mohd Saad dan ketika itu dia dan rakannya yang berada di tepi jalan melihat mangsa menunggang motosikal dari arah jambatan.

“Sebaik melepasi kami, saya lihat motosikal mereka terhuyung-hayang lalu memasuki laluan bertentangan dan merempuh tiang telefon di kanan jalan.

“Kami terus bekejar ke arah mereka untuk membantu dan sebaik tiba arwah dalam keadaan tertiarap dan parah di kepala dan muka.

“Rakan saya kemudian bergegas ke rumah mangsa memberitahu isterinya manakala rakan arwah yang cedera dikejarkan ke hospital oleh anaknya yang tiba sejurus kejadian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, siasatan mendapati motosikal ditunggang Mohd Saad bersama Sainon gagal dikawal lalu terbabas ke sebelah kanan jalan dan merempuh tiang telefon.

Katanya, kedua-dua mangsa tercampak dari motosikal namun kepala Mohd Saad terhantuk pada tiang telefon menyebabkan dia parah di kepala dan muka serta mati di tempat kejadian manakala rakannya yang turut cedera dikejarkan ke hospital swasta.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Disiarkan pada: June 1, 2017 @ 4:28am
d