mutakhir

Semua boleh bantu [METROTV]

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

RANGKAIAN Televisyen Media Prima melancarkan Skuad Terima Kasih (STK) untuk memupuk kesedaran serta menyampaikan mesej bahawa kebaikan boleh dilakukan oleh sesiapa tanpa mengira bagaimana keadaannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPB), Datuk Kamal Khalid berkata, STK adalah program tanggungjawab sosial dengan kerjasama tujuh pertubuhan di seluruh negara.

"Ia membabitkan Majlis Bagi Orang Buta Malaysia, Gabungan Anak-anak Palsi Serebrum (GAPS), Persatuan Pengasih Malaysia, Persatuan Orang Pekak Johor Bahri, Spinal Muscular Athropy (SMA), Jabatan Penjara Malaysia serta Pertubuhan Orang Kerdil Malaysia (PKOKM).

"Duta STK iaitu Fiza Sabjahan, Zainal Arifin dan Ustaz Fakhrul Radhi serta Uyaina Arshad akan bekerjasama dengan pertubuhan terbabit di beberapa lokasi di seluruh negara bagi menjayakan misi Rantaian Kasih untuk menyebarkan kasih sayang dan kebaikan sebagai tanda terima kasih serta mengumpul dana.

"Misi Rantaian Kasih ini membuktikan bahawa semua lapisan masyarakat tanpa mengira siapa atau bagaimana keadaannya boleh membantu antara satu sama lain dengan cara mereka sendiri," katanya ketika ditemui pada majlis pelepasan Skuad Terima Kasih di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar (Kumpulan Komunikasi Konsumer) MPB, Desmond Cheng.

Menurut Kamal lagi, selain menyertai aktiviti yang disediakan, orang ramai juga boleh menyumbang kepada dana STK menerusi pembelian barangan edisi terhad kad Touch N Go dan pin ikrar istimewa Rantaian Kasih.

Kata beliau, kad serta pin berkenaan masing-masing dijual pada harga RM10.

"Semua kutipan yang diperoleh menerusi misi ini disalurkan ke dana Skuad Terima Kasih.

"Selain membantu menyebarkan kasih sayang dan kebaikan, program ini mempunyai signifikan tersendiri kerana ia juga bersempena sambutan ulang tahun ke-33 TV3," katanya.

Disiarkan pada: June 1, 2017 @ 10:44am
d