mutakhir

Reda adik manja kini tiada

Oleh Zuliaty Zulkiffli

JENAZAH budak lelaki yang lemas di Kampung Sungai Baru Tengah, Alor Setar di sini malam semalam dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid It Tihad, jam 11 pagi ini.

Majlis pengebumian Iman Shafiq Ibrahim, 7, dihadiri ahli keluarga dan sahabat handai selain anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kubang Pasu dan Kota Setar.

Kakak keempat mangsa, Suhaida Ibrahim, 17, berkata, dia tidak menyedari adiknya pergi ke kawasan titi konkrit kira-kira 20 meter di hadapan masjid itu kerana menunaikan solat Tarawih.

Katanya, dia pergi bersama arwah dan seorang lagi adik, Idham, 12, ke masjid berkenaan dengan menunggang motosikal dari rumah mereka di Kampung Sungai Baru Tok Keramat yang terletak tidak jauh dari situ.

"Saya hanya mengetahui adik terjatuh selepas ibu, Sharifah Noor, 47, datang ke masjid dan terkejut kerana sebelum itu arwah hanya bermain di kawasan depan masjid saja.

"Bagaimanapun kami sekeluarga reda dengan apa yang berlaku walaupun kehilangan adik yang manja dan baik," katanya ketika ditemui selepas majlis pengebumian Iman hari ini.

Dalam kejadian jam 9.30 malam semalam, Iman Shafiq dikatakan bermain basikal di titi konkrit berhampiran masjid itu bersama rakan sebayanya sebelum dia terjatuh ke dalam sungai berkenaan lalu dihanyutkan arus sebelum tenggelam.

Mayatnya ditemui tersangkut pada ranting kayu oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri pada jam 12.41 tengah malam dan diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: June 1, 2017 @ 2:01pm
d