mutakhir

Dituduh menipu tiga individu

Oleh Sarah Zulkifli

BEKAS pengurus bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang, hari ini, atas enam tuduhan menipu tiga individu termasuk dua warga emas membabitkan pelaburan simpanan tetap berjumlah lebih RM500,000, tahun lalu.

Tertuduh, Ng Yee Lin, 33, membuat pengakuan itu dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadap wanita itu dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Haslinda A Raof.

Mengikut pertuduhan, Yee Lin didakwa memperdaya Yong Loo Kim, 49, Seah Seong Yew, 76, dan Soon Thiam Yew, 70, untuk menyerahkan wang berjumlah RM520,000 bagi tujuan pelaburan simpanan tetap.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Hong Leong Bank, Taman Putra Ampang antara 16 Ogos dan 19 Disember 2016.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda, jika disabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM24,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan 21 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: June 1, 2017 @ 3:52pm
d