mutakhir

Ranking Universiti Awam naik

Oleh Nursyahirah Marzuki

RANKING universiti di Malaysia dijangka meningkat berdasarkan senarai QS World University Rankings 2017 yang bakal diumumkan pada 8 Jun ini.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan maklum balas positif daripada beberapa pihak mengenai kedudukan sistem pendidikan tinggi negara yang semakin baik.

“Saya percaya pencapaian prestasi Universiti Awam (UA) meningkat kerana ada universiti yang dulunya prestasi kurang memberangsangkan dan tidak menyerlah namun kini melonjak kepada kedudukan yang lebih baik.

“Universiti penyelidikan negara akan terus meningkat dari semasa ke semasa apabila keputusan ranking berkenaan diumumkan beberapa hari lagi,” katanya ketika berucap pada Majlis Ukhuwah Ramadan bersama Menteri Pendidikan Tinggi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datin Ir Siti Hamisah Tapsir.

Pada majlis itu, Idris turut menyerahkan sumbangan wang tunai kepada ibu tunggal, kakitangan ditimpa musibah dan kakitangan sokongan bawahan.

Idris berkata, peningkatan prestasi UA adalah kerjasama dan usaha daripada semua pihak membabitkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) termasuk universiti di negara ini.

“Kita boleh lihat kesatuan dan kerjasama daripada semua pihak daripada pihak atasan dan akar umbi. Malah, prestasi kita akan lebih meningkat apabila semua bekerja kuat untuk menjadikan institusi pendidikan tinggi di negara ini berada pada tahap terbaik,” katanya.

QS World University Rankings adalah jadual liga tahunan universiti terbaik dunia yang paling terkenal dan diiktiraf.

Penilaian QS World University Rankings ini berdasarkan empat tonggak utama terdiri daripada penyelidikan, pengajaran, kebolehgajian dan pengantarabangsaan.

Keseluruhan laporan QS World University Rankings ini merangkumi fokus kajian saintifik dan teknologi berimpak tinggi sebagai tonggak kemajuan kepemimpinan.

Disiarkan pada: June 1, 2017 @ 8:42pm
d