mutakhir

Lelaki Indonesia maut bertembung

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

Parit: Seorang lelaki warga Indonesia maut selepas kereta jenis Proton Gen 2 dipandunya memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori membawa muatan baja di Kilometer 32, Jalan Beruas-Parit, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.35 pagi, mangsa dikenali sebagai Mukid, 41, meninggal dunia di lokasi nahas selepas parah di beberapa bahagian badan akibat tersepit.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan awal mendapati lori terbabit dari arah Parit ke Siputeh dan sebaik tiba di tempat kejadian, kereta dipandu mangsa memasuki laluan bertentangan.

Katanya, pemandu lori berkenaan tidak sempat membrek kerana laluan itu adalah selekoh menyebabkan kedua-dua kenderaan bertembung secara berhadapan.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Changkat Melintang untuk dibedah siasat manakala pemandu lori berusia 34 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Disiarkan pada: June 2, 2017 @ 3:56am
d