mutakhir

Kerjasama berterusan

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (BARIM) meneruskan sumbangan untuk program Titipan Kasih Harian Metro 2017 apabila menyumbang 30 kampit beras sempena program amal itu di Gelang Patah, Johor minggu depan.

Presidennya Ismail Awang berkata, pihaknya tertarik dengan penganjuran sebelum ini kerana objektif program menepati keperluan BARIM yang menumpukan aspek bantuan kepada golongan memerlukan.

"Ini pengisian baik dan kami sentiasa memberi sokongan kepada program seperti ini. Insya-Allah BARIM sedia bekerjasama pada masa depan," katanya pada majlis penyerahan sumbangan Titipan Kasih kepada Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar di Balai Berita, The New Straits Times Press (M) Bhd, semalam.

Ismail berkata, sebagai persatuan yang mempunyai jaringan dengan pengedar beras di negara ini, BARIM menyedari ia sebahagian tanggungjawab sosial korporat persatuan berkenaan, apatah lagi program diadakan pada Ramadan.

Katanya, satu pertemuan diadakan bersama Ketua Jabatan Pembangunan Usaha Bumiputera BERNAS di Shah Alam, semalam khusus membincangkan hala tuju industri beras.

"Saya berterima kasih dengan perhatian diberikan BERNAS. Selepas ini, BARIM juga akan bertukar pandangan mengenai masalah dihadapi pemborong dan kami mengharapkan ahli BARIM di seluruh negara diberi keutamaan dari segi bekalan beras serta lain-lain," katanya.

Disiarkan pada: June 2, 2017 @ 4:48am
d