mutakhir

Hidup tak tenteram monyet selongkar rumah

Oleh myMetro

Kuala Pilah: Kehidupan harian penduduk di Kampung Batu 46 di sini, bertukar suram kerana kerap diganggu kumpulan monyet yang menceroboh rumah dan menyelongkar makanan.

Gangguan sejak dua minggu lalu turut menyebabkan penduduk ketakutan kerana ada antara monyet terbabit bertindak agresif jika dihalau.

Penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Aminah, 50-an, berkata, dia tidak tahu dari mana monyet ini datang kerana ada kalanya, haiwan terbabit datang secara berkumpulan atau antara dua hingga tiga ekor pada masa tertentu.

“Monyet ini sering menyelongkar makanan. Bukan itu saja, apabila dihalau, monyet ini bertindak agresif seperti mahu menyerang. Bagaimanapun, hingga kini, belum ada lagi kes penduduk diserang monyet,” katanya.

Menurut Aminah, akibat gangguan itu, dia terpaksa menyembunyikan makanan.

“Sebelum ini, makanan diletak di atas meja namun kini, ia disimpan dalam almari atau di tempat tersorok,” katanya.

Menurut Aminah, pihak berkaitan perlu mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah monyet liar yang berkeliaran itu.

Disiarkan pada: June 2, 2017 @ 4:57am
d