mutakhir

Potong elektrik paksa keluar rumah

Oleh myMetro

Ampang: Sengaja putuskan bekalan elektrik sebagai cara memaksa sepasang suami isteri yang juga penagih dadah tegar keluar dari kediaman.

Itu taktik digunakan sepasukan anggota penguat kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam serbuan di sebuah rumah Keramat, di sini, semalam.

Dalam serbuan jam 11 pagi, anggota penguat kuasa AADK terpaksa menunggu lebih sejam di luar rumah berikutan penghuninya enggan memberi kerjasama.

Difahamkan penghuni kediaman membabitkan sepasang suami isteri sengaja bersembunyi di dalam rumah berkenaan.

Selepas puas mengetuk pintu, anggota penguat kuasa kemudian bertindak mencabut fius elektrik sebelum berpura-pura beredar meninggalkan rumah berkenaan.

Taktik itu bagaimanapun berjaya mengumpan lelaki berusia 30 tahun terbabit keluar dari rumah sebelum anggota penguat kuasa menyerbu kediaman berkenaan.

Ketua Pegawai AADK Ampang Hasnina Ibrahim berkata, serbuan dilakukan susulan aduan awam dan risikan dilakukan pihaknya sejak lebih seminggu lalu.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis syabu manakala isterinya didapati negatif mengambil dadah.

“Pemeriksaan lanjut mendapati lelaki terbabit mempunyai rekod lampau dan dikesan melanggar syarat pengawasan serta gagal melapor diri setiap bulan di pejabat AADK.

“Lelaki ini ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 atas kesalahan gagal melapor diri,” katanya.

Disiarkan pada: June 2, 2017 @ 4:59am
d