mutakhir

Putih mengembek dalam perigi diselamat bomba

Oleh myMetro

Port Dickson: “Sejak petang semalam (kelmarin) saya berusaha mengesan Putih (kambing ternakan) namun gagal menemuinya. Ketika melalui perigi, saya terdengar suaranya mengembek sebelum mendapati ia terjatuh ke dalam perigi sedalam kira-kira dua meter,” kata Nurhazawanie Redzuan, 21, pemilik kambing betina yang dipanggil Putih.

Katanya, Putih baru melahirkan anak dua bulan lalu dan ia diselamatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson yang tiba, jam 11.15 pagi semalam.

“Keadaan Putih agak lemah menyebabkan saya menghubungi bomba bagi mendapatkan bantuan,” katanya ketika ditemui di Kampung Sri Parit, Lukut, semalam.

Katanya, anggota bomba kemudiannya mengeluarkan Putih menggunakan tali yang diikat pada badan haiwan terbabit.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson Mohd Ariff Bokhari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.55 pagi lalu bergegas ke lokasi bersama enam anggota.

“Kami mengambil masa hampir 20 minit mengeluarkan kambing itu, ia selamat tanpa kecederaan,” katanya ketika dihubungi.

Disiarkan pada: June 2, 2017 @ 5:21am
d