mutakhir

Zulkifili dilantik Ketua Pengarah APMM

Oleh Siti A'isyah Sukaimi

TIMBALAN Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Madya Maritim Datuk Zulkifili Abu Bakar dilantik sebagai Ketua Pengarah APMM mulai semalam.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, pelantikan beliau adalah bagi menggantikan Laksamana Maritim Datuk Seri Ahmad Puzi Ab Kahar yang tamat kontrak pada 27 Mei lalu.

Menurutnya, pelantikan Zulkifili berdasarkan kelayakan, pengalaman dan pengetahuan pegawai khususnya dalam penguatkuasaan dan undang-undang maritim.

"Saya percaya kelayakan, pengalaman, kemahiran dan ciri kepimpinan dimiliki beliau akan membolehkan beliau menerajui kepimpinan di APMM.

"Pada masa sama, beliau dapat meneruskan kecemerlangan mengawal keselamatan dan kesejahteraan perairan negara dengan cekap dan berkesan untuk mencapai matlamat kemajuan pembangunan ekonomi maritim negara," katanya dalam kenyataan dikeluarkan di Putrajaya hari ini.

Selain itu, Ali turut merakam penghargaan dan terima kasih kepada Ahmad Puzi atas sumbangan dan khidmat bakti diberikan sepanjang beliau memegang jawatan Ketua Pengarah APMM mulai 9 September 2015.

Zulkifili, 57, mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Undang-Undang Antarabangsa dari International Maritime Law Institute dan Ijazah Sarjana Undang-Undang dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Beliau dilantik ke Perkhidmatan Pegawai Penguat Kuasa Maritim pada 1 November 2005 iaitu bermula dari APMM ditubuhkan.

Disiarkan pada: June 2, 2017 @ 4:12pm
d