mutakhir

Tolak motosikal di malam Ramadan

Oleh Rosli Ilham

SERAMAI 20 remaja terpaksa menolak motosikal mereka sejauh lima sehingga ke Balai Polis Paka selepas dicekup polis ketika melakukan aktiviti lumba haram di Jalan Santong-Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun semalam.

Semua remaja berusia antara 15 hingga 18 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun di laluan yang menjadi litar untuk mereka berlumba.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, operasi selama dua jam bermula jam 10 malam itu dilakukan hasil aduan orang ramai mengenai aktiviti lumba haram yang dilakukan ketika umat Islam menunaikan solat Tarawih.

Beliau berkata, selain aduan orang ramai, pihaknya turut melakukan intipan bagi mengenal pasti laluan yang digunakan mereka untuk berlumba dan waktu solat Tarawih menjadi pilihan kerana laluan tidak sibuk.

"Kebanyakan mereka ini menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar dan menunggang secara berbahaya sehingga menyebabkan pengguna lain terpaksa memberi laluan kepada mereka.

"Dalam operasi ini, kita menyita 10 buah motosikal dan sebanyak 42 saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan trafik seperti tidak memakai topi keledar, cukai jalan tamat tempoh dan tiada lesen memandu," katanya.

Ahmad Zailani berkata, sikap remaja yang menunggang motosikal secara berbahaya boleh membawa kecederaan serius sekiranya berlaku kemalangan bukan sahaja kepada diri mereka tetapi pengguna jalan raya yang lain.

Beliau berkata, ibu bapa atau penjaga diingatkan supaya mengambil tahu pergerakan anak mereka supaya tidak terjebak dalam aktiviti berkenaan dalam usaha mengekangnya daripada terus berleluasa dalam kalangan remaja.

Disiarkan pada: June 2, 2017 @ 6:22pm
d