mutakhir

SAR bot karam dihentikan

Oleh Norasikin Daineh

OPERASI mencari lima mangsa hilang dalam kejadian bot katamaran karam di perairan Pulau Mengalum pada 28 Januari lalu ditamatkan hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som berkata, operasi yang masuk hari ke 126 itu ditamatkan pada jam 9.20 pagi hari ini.

“Lima mangsa masih belum ditemui dan tiada sebarang petunjuk positif sepanjang operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan.

“Operasi SAR ditamatkan pada 9.20 pagi hari ini,” katanya pada kenyataan media.

Katanya lagi, APMM berterima kasih kepada semua agensi serta pihak yang membantu atas kerjasama yang diberikan sepanjang operasi SAR dijalankan.

Pada kejadian itu, bot katamaran yang membawa 28 pelancong warga China dan tiga kru dalam perjalanan ke Pulau Mengalum karam.

Dalam tragedi itu, 22 daripadanya termasuk dua kru bot selamat, empat lemas dan lima lagi masih hilang.

Disiarkan pada: June 2, 2017 @ 11:03pm
d