mutakhir

Kaji semula modul, silibus

Oleh Mazizul Dani

Kuala Lumpur: "Modul dan silibus pengajian Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)/Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) perlu dikaji semula keberkesanan dan pemerkasaannya,” kata Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia merangkap Pengerusi Biro Pemuda IPT, Dr Fathul Bari Mat Jahya.

Beliau mengulas kejadian penuntut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain meninggal dunia dipercayai dibuli.

"Sangat mengejutkan saya, kes buli berlaku di UPNM atau Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) yang sangat menekankan soal displin dan etika.

"Jika benar seramai 30 orang membuli, ia bukanlah merupakan jumlah yg sedikit dan sama sekali tidak boleh dipandang remeh," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Persoalannya bagaimanakah dengan penerapan nilai murni dan akhlak di UPNM/ALK dan di IPT secara umumnya?

"Saya menggesa pihak berwajib mengambil serius saranan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein supaya dilakukan siasatan dengan kadar segera," katanya.

Dalam masa sama, beliau turut meminta pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memberikan penjelasan tentang kedudukan ALK dalam UPNM.

"Saya difahamkan bahawa kadet tidak terikat dengan pemantauan universiti selepas daripada waktu belajar dan selesai saja waktu belajar, kadet akan berada di bawah seliaan ALK.

"Jadi, untuk kes Zulfarhan, pihak manakah yg perlu bertanggungjawab? UPNM atau ALK? Saya harap penjelasan tuntas diberikan," katanya.

Terdahulu, mangsa yang juga pegawai kadet laut tahun tiga meninggal dunia di Hospital Serdang 10 malam semalam.

Allahyarham dipercayai ditekap dengan seterika wap di 80 peratus tubuhnya.

Susulan daripada itu, 36 individu direman selama tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Jenazah allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kebun Teh, Johor Bahru, Johor, pada 9.30 malam tadi.

Disiarkan pada: June 3, 2017 @ 12:33am
d