mutakhir

Sinar harapan

Oleh Adnan Ibrahim

Kluang: Penderitaan seorang ibu muda membesarkan tujuh anaknya seperti yang disiarkan Harian Metro pada 29 Mei lalu terus mendapat perhatian dan terkini, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyalurkan bantuan menerusi Pegawai Daerah Kluang Mohd Noh Ibrahim, kelmarin.

Shila Borhan, 32, menerima bantuan RM1,000 sebagai modal untuk menghasilkan biskut dan kek raya selain bagi membeli pakaian Aidilfitri buat ketujuh-tujuh anaknya.

Mohd Noh berkata, selain sumbangan itu, pihaknya menyalurkan pelbagai bantuan kepada Shila dan anak-anaknya bagi memastikan dia memperoleh pendapatan tetap melalui perniagaan biskutnya sama ada sebelum atau selepas Aidilfitri.

“Kami berharap, menerusi pelbagai bantuan diberikan ini, Shila dapat meneruskan hidupnya dan berdikari tanpa perlu menumpang di rumah neneknya seperti ketika ini.

“Apa yang penting, gunakan wang itu seperti dirancang dan jadikan modal untuk memperoleh pendapatan bagi menyara anaknya,” katanya ketika ditemui di rumah nenek Shila di Kampung Gunung Lambak 2 di sini, kelmarin.

Mohd Noh turut berterima kasih kepada Pasaraya Econsave Kluang, UMNO Bahagian Kluang, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang menyalurkan pelbagai bantuan kepada Shila.

Sementara itu, Shila terharu apabila kesusahan keluarganya turut mendapat perhatian Tunku Ismail.

“Jika boleh saya ingin membawa anak-anak bertemu Tunku Mahkota Johor untuk mengucapkan terima kasih atas keprihatinan baginda dengan kesusahan yang kami lalui.

“Selain itu, saya berterima kasih kepada semua penyumbang lain dan hanya Allah SWT yang mampu membalasnya,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan keperitan hidup Shila bersama tujuh anaknya berusia tujuh bulan hingga lapan tahun yang terpaksa menumpang di rumah neneknya selepas suaminya didakwa meninggalkan mereka tanpa sebarang nafkah sejak lima bulan lalu.

Shila kini berusaha untuk mencari punca pendapatan bagi menyara keluarganya.

Disiarkan pada: June 3, 2017 @ 5:36am
d