mutakhir

Juadah Kazakhstan

Oleh Siti Fatimah Nasir

Keunikan menu nasi Arab dan mantu dari Kazakhstan di Bazar Ramadan Wangsa Melawati 3, di sini, antara yang menjadi tumpuan pelanggan setiap kali tibanya bulan puasa.

Keenakan menu itu menyebabkan gerai itu tidak putus-putus menerima kunjungan orang ramai untuk mencuba resipi dari negara bekas Soviet Union itu.

Perniagaan yang bermula pada awal tahun lalu menunjukkan kesan positif apabila permintaan orang ramai terhadap nasi arab semakin bertambah sehingga pemiliknya mendapat idea untuk membuka gerai di bazar Ramadan.

Pengurus Nasi Arab dan Mantu, Ainash Din Mohammad, 49, berkata, resipi menghasilkan nasi Arab ini sukar dibuat kerana ia mengambil masa empat hingga lima jam untuk menyediakannya.

“Antara menu istimewa di gerai ini ialah hidangan nasi Arab dijual bersama ayam Kabsah, kambing Kabsah, ayam Mandy, kambing Mandy, Shawarma, kebab dan mantu.

“Semua hidangan di gerai ini datang dari Kazakhstan dan dibawa ke Malaysia untuk diperluaskan lagi,” katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan Wangsa Melawati 3, di sini.

Ainash Din Mohammad antara peniaga terbabit dalam program 5by20 di bawah inisiatif Komuniti Usahawan Coca-Cola (Coca-Cola KU).

Menerusi program itu, Coca-Cola menyediakan latihan di tempat kerja serta latihan dalam talian melalui aplikasi mudah alih.

Menurut Ainash, menyediakan nasi untuk menu itu hanya mengambil masa 20 minit berbanding lauknya yang mengambil masa lama untuk dimasak.

“Sepanjang Ramadan, saya menjual 40 hingga 50 juadah nasi Arab sehari kepada orang ramai.

“Juadah istimewa nasi Arab di sini dijual bersama kuah renehan daging kambing dan sos khas yang dicampur bersama tomato, buah ceri dan lobak merah di dalamnya,” katanya.

Katanya, dia sentiasa mendapat sokongan suami, Orken Baimanatov, 54, dan anak, Aisha Tokenova, 11, selain dibantu seorang tukang masak, Mohanad Salim, 26, untuk menyediakan menu istimewanya itu.

“Saya merancang meluaskan perniagaan dengan membuka restoran di Setapak untuk menjual juadah Arab dan salad,” katanya.

Menurutnya, menu nasi Arab dan mantu dijualnya juga boleh didapati di Bazar Ramadan Wangsa Maju berdekatan Aeon Big sepanjang Ramadan.

“Menerusi Coca-Cola KU, saya belajar untuk menganalisis modul perniagaan saya dan juga mengenal pasti jurang atau bahagian yang tidak saya kenal pasti sebelum ini. Oleh itu, sekarang jualan saya meningkat,” katanya.

Disiarkan pada: June 3, 2017 @ 5:54am
d