mutakhir

Ajal awal pagi

Oleh Mohamad Hairi Azmi Tham

SEORANG maut manakala lima cedera dalam kemalangan membabitkan enam motosikal di Kilometer 244.1, lebuh raya PLUS arah selatan berhampiran kawasan rehat dan rawat (R&R) Sungai Perak, Kuala Kangsar, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 pagi itu, penunggang motosikal, Mohammad Hafiz Mohd Khir, 19, dari Kampung Batang Kulim, Kota Lama Kanan, Kuala Kangsar meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Ahmad Termizi Abd Haq berkata, lima lagi penunggang berusia 21 hingga 23 tahun yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan.

"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati semua enam motosikal terbabit dari Tol Kuala Kangsar menghala ke R&R Sungai Perak dan sebaik sampai di lokasi kejadian, remaja berkenaan yang menunggang di lorong kanan disyaki hilang kawalan lalu terbabas dan terjatuh di tengah jalan menyebabkan lima motosikal dari arah belakang hala sama cuba mengelak mangsa turut terbabas.

"Akibat perlanggaran tersebut, sebuah motosikal terbakar," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat dan punca kematian akibat kecederaan parah di kepala.

Disiarkan pada: June 3, 2017 @ 12:40pm
d