mutakhir

Maut dirempuh kereta

Oleh Farah Suhaidah Othman

SEORANG lelaki maut selepas motosikal ditunggang dirempuh sebuah kereta di Jalan Tambun berhampiran lampu isyarat di sebuah stesen minyak di Ipoh, pagi ini.

Dalam kemalangan 9.30 pagi itu, Mohammad Amirul Zaki, 22 beralamat di Sungai Bayo, Selama maut di lokasi kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasan Perak Superintendan Wan Jamil Wan Chik berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Perodua Alza dipandu seorang wanita berusia 34 tahun dalam perjalanan dari bandar Ipoh menghala ke Tambun.

Katanya, setiba di lokasi kejadian kereta dipandu hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan.

"Kejadian itu menyebabkan kereta itu merempuh motosikal ditunggang mangsa dan sebuah lagi kereta jenis Perodua Viva yang berada di laluan bertentangan.

"Akibat rempuhan itu, penunggang motosikal disahkan maut di lokasi kejadian manakala pemandu Alza dan Viva tidak cedera," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Wan Jamil berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

Katanya, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: June 3, 2017 @ 4:46pm
d