mutakhir

Suami isteri sehidup semati

Oleh Azahar Hashim

SUAMI isteri maut selepas kereta mereka terbabit dalam kemalangan dengan tiga kereta dan lori di Jalan Kulim-Baling, dekat Kampung Paya Serdang, kira-kira 3 petang Sabtu.

Razak Saari, 66, dan isteri, Robiah Mat Saman, 54, dari Kampung Padang Cina, yang berniaga di pasar malam sekitar daerah ini meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulim Hi-Tech, Mohd Azizi Abdullah, berkata pihaknya menerima panggilan orang awam, pada 3.15 petang.

Menurutnya, lima anggota, jentera bomba dan ambulans Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) ke lokasi kemalangan.

Katanya, apabila tiba pihaknya mendapati kejadian kemalangan itu membabitkan lima kenderaan.

“Hasil pemeriksaan semua mangsa dari kenderaan lain diselamatkan orang ramai yang kemudian dibawa ke Hospital Kulim dengan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Hanya dua mangsa tersepit di tempat duduk penumpang dan disahkan sudah meninggal dunia oleh pembantu perubatan di tempat kejadian," katanya.

Menurutnya, anggota bomba kemudian menjalankan operasi mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Disiarkan pada: June 4, 2017 @ 12:46am
d