mutakhir

Rugi RM1 juta

Oleh Azlan Hafeedz

Pasir Puteh: Seorang pemilik kedai motosikal kerugian hampir RM1 juta apabila premis yang menyimpan 300 buah motosikal dan sebuah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Bukit Belah, Jalan Jerteh-Pasir Puteh di Gaal, semalam.

Dalam kebakaran jam 3.30 pagi, mangsa nyenyak tidur sebelum dikejutkan boleh bahang api.

Mangsa, Salwani Mustafa, 35, berkata, ketika kejadian empat ahli keluarga berada di rumah itu termasuk ibu, Che Asnah Idris, 60, adiknya, Samihah, 29, kakaknya, Susila, 43, bersama suami, Zulkifli Don, 44, yang kebetulan bermalam di rumah berkenaan.

Katanya, mereka menyelamatkan diri sebaik melihat api marak dari kedai motosikal yang berada bersebelahan rumah.

“Saya yang ketika itu berada di rumah terletak kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian bergegas kerana bimbangkan keselamatan ibu dan ahli keluarga.

“Sebak melihat kedai arwah ayah dan rumah pusaka musnah dalam sekelip mata. Lebih sedih kerana 20 motosikal yang baru tiba dari Kuala Lumpur Khamis lalu, untuk jualan promosi Ramadan kepada orang ramai juga musnah.

“Ramadan ini adalah paling duka buat kami sekeluarga kerana ibu dan adik tinggal sehelai sepinggang. Bahkan, satu-satunya gambar arwah ayah turut terbakar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Katanya, walaupun hanya sempat meneguk segelas air dan sebiji kurma sebagai sunat bersahur, namun dia bersyukur kerana ibu, adik, kakak dan abang ipar terselamat.

Menurutnya, ada saksi mendakwa terlihat kelibat seorang wanita menaiki kenderaan hitam menyimbah petrol di hadapan kedai sebelum membakarnya.

Disiarkan pada: June 4, 2017 @ 1:00am
d