mutakhir

Penderitaan Puntung berakhir

Oleh Norasikin Daineh

PUNTUNG, badak Sumatera betina yang menghidap kanser sel skuamus atau kanser kulit, mati selepas diberikan suntikan menerusi prosedur euthanasia (mencabut nyawa secara perlahan untuk menamatkan seksa kerana penyakit) di Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin, 7 pagi hari ini.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Augustine Tuuga berkata, sebelum ini prosedur itu dirancang dilakukan pada 15 Jun ini namun diawalkan kerana kesihatan Puntung semakin merosot termasuk mengalami kesukaran bernafas.

"Euthanasia dilakukan pagi tadi di Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin dan keputusan itu diambil untuk menamatkan ketidakselesaan Puntung dan diawalkan daripada tarikh prosedur.

"Sel kanser yang dialami Puntung semakin membesar daripada segi saiz selain mengalami kesukaran bernafas. Selepas berunding dengan penasihat badak di Institusi Leibniz untuk Zoo dan Penyelidikan Hidupan Liar di Berlin dan pihak lain, kami mengambil keputusan menamatkan penderitaan Puntung," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Katanya, Puntung, seekor daripada tiga badak sumbu Sumatera di Sabah menarik perhatian dunia sejak April lalu menerusi pembedahan pergigian yang dilakukan oleh sepasukan pakar pelbagai negara di Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin sebelum disahkan menghidap kanser sel skuamus, baru-baru ini.

Disiarkan pada: June 4, 2017 @ 3:30pm
d