mutakhir

Tebuk dinding bilik kebal

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

POLIS sedang mengesan sekumpulan penjenayah yang memecah masuk sebuah kedai emas di Jalan Banggol, Kuala Terengganu, hari ini, sebelum melarikan pelbagai barangan kemas yang disimpan di peti besi.

Kejadian hanya disedari pemilik kedai berkenaan ketika ingin memulakan perniagaan kira-kira 9.30 pagi ini.

Menurut sumber, penjenayah dipercayai memecah masuk bangunan dua tingkat itu dengan memanjat siling ke ruang kedai emas di tingkat bawah.

Katanya, penjenayah bertindak menebuk dinding bilik kebal menggunakan mesin gerudi sebelum menebuk peti besi.

"Pemilik kedai memaklumkan penggera yang dihubungkan menerusi telefon bimbit berbunyi kira-kira 10.30 malam dan 11.30 malam tadi sebelum dia pergi ke kedai untuk membuat pemeriksaan.

"Bagaimanapun, pemilik terbabit hanya melihat bahagian hadapan kedai dan tidak mengesyaki apa-apa kejadian jenayah berikutan penggera itu sering berbunyi pada waktu hujan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengenal jumlah kerugian dan suspek yang terbabit dalam kes berkenaan.

Disiarkan pada: June 4, 2017 @ 8:10pm
d