mutakhir

Maut kenderaan terbabas

Oleh Ainul Durmahyanty Durming

MANDUR ladang maut manakala anaknya cedera ringan selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh tiang telefon dan pokok kelapa sawit di Kilometer 28, Jalan Lahad Datu - Sandakan, dekat Lahad Datu, hari ini.

Dalam kejadian 10 pagi itu, Liana Samauna, 46, warga Indonesia meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan dialaminya.

Anak mangsa yang memandu Toyota Hilux, Amir Atibe, 28, yang cedera ringan dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Hamzah Ahmad berkata, Toyota Hilux itu dari arah bandar Lahad Datu menuju pulang ke ladang tempat ibunya bekerja di Kinabatangan.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan itu dipercayai hilang kawalan dan masuk ke lorong bertentangan sebelum terbabas ke bahu jalan dan terlanggar tiang telefon dan pokok kelapa sawit.

"Pemandu dan penumpang dikeluarkan orang awam dan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu yang cedera ringan dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu kerana gagal mengawal kenderaan dengan baik sehingga menyebabkan berlaku kemalangan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Disiarkan pada: June 4, 2017 @ 8:18pm
d