mutakhir

Air paip berlabel zamzam [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Air paip dibotolkan sebelum ditampal pelekat berlabel produk air zamzam. Itu kegiatan tidak bertanggungjawab sindiket yang tidak mempedulikan halal haram apabila sanggup menipu umat Islam dengan mengeluarkan produk air zamzam palsu.

Video pihak berkuasa Arab Saudi menyerbu tempat pembotolan air zamzam palsu yang tular dalam aplikasi WhatsApp turut menimbulkan kegusaran masyarakat di negara ini kemungkinan produk palsu itu sudah ada di pasaran Malaysia.

Rakaman video kira-kira seminit itu turut memaparkan proses air zamzam palsu dibotolkan sebelum ditampal pelekat dan dimasukkan ke dalam kotak untuk edaran.

Mengulas perkara itu, Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata, tiada larangan khusus dalam agama Islam berkaitan penjualan air zamzam.

“Namun jika ada pihak yang memalsukan, ini adalah bentuk penipuan. Bukan saja untuk air zamzam tetapi terpakai untuk semua produk.

“Agama melarang pemalsuan terutama membabitkan jual beli. Contohnya, jika ada orang yang mahu membeli produk A tetapi dia dapat produk B, maka ia adalah penipuan dan sangat dilarang,” katanya.

Laporan eksklusif Harian Metro pada 11 Mei dua tahun lalu membongkar mengenai sekurang-kurangnya tiga jenama air zamzam yang dijual di negara ini diragui ketulenannya, malah ujian kimia yang dilakukan turut mendapati satu daripada jenama berkenaan sudah tercemar.

Disiarkan pada: June 5, 2017 @ 10:18am
d