mutakhir

Perangi keganasan melalui ideologi

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

TINDAKAN memerangi ancaman keganasan bukan hanya melalui langkah ketenteraan dan polis semata-mata sebaliknya perlu diperangi menerusi ideologi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, tindakan keganasan sejak akhir-akhir ini dilihat sebagai ancaman serius dan tidak boleh dipandang remeh kerana lebih menyedihkan turut membabitkan kehilangan banyak nyawa.

"Apa yang berlaku di Kabul, Manchester, London, Marawi, Manila dan Jakarta amat menyedihkan kita semua," katanya berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Hishammuddin buat kali pertama menghadiri Perhimpunan Bulanan JPM selepas dilantik sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas pada April lalu.

Dalam pada itu, Najib berkata, kerajaan melalui suku tahun pertama mencatat prestasi ekonomi membanggakan dengan pencapaian ekonomi di luar jangkakan iaitu pertumbuhan 5.6 peratus.

Menurutnya, bagi Mac sahaja, nilai eksport negara buat kali pertama dalam sejarah mencatat RM82.83 bilion.

"Prestasi ekonomi pada suku pertama mencatat prestasi membanggakan dan ia perlu diteruskan sebagai momentum ke hadapan," katanya.

Menurutnya, penjawat awam perlu menambah usaha kerana beliau mahu 2017 dijadikan tahun penyampaian sekali gus mencapai sasaran yang sudah ditetapkan kerajaan

Disiarkan pada: June 5, 2017 @ 10:24am
d