mutakhir

MAIS tunggu laporan Hospital Kajang [METROTV]

Oleh Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail

MAJLIS Agama Islam Selangor (MAIS) menunggu hasil siasatan dan laporan terperinci daripada Hospital Kajang berhubung dakwaan kecuaian pengurusan mayat seorang mualaf, Hassan Abdullah atau Lim Ah San, 74, Sabtu lalu.

Pengerusi MAIS, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan Hospital Kajang dan meminta mereka menjalankan siasatan dan menyediakan laporan terperinci berhubung kejadian itu.

Menurutnya, MAIS turut mencadangkan Hospital Kajang menyemak dan menambah baik prosedur sedia ada supaya perkara seperti itu tidak berulang.

“MAIS turut meminta supaya semua pihak tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan kontroversi dengan memberikan gambaran tidak tepat terhadap kes ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, jenazah mualaf itu sudah dikebumikan mengikut cara Islam di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang, kira-kira 11.30 pagi, semalam.

Harian Metro melaporkan mengenai berlaku kekeliruan ketika proses menuntut mayat di Unit Forensik Hospital Kajang apabila ada dua nama mayat yang hampir sama.

Akibat kekeliruan itu, mayat Hassan dibakar di sebuah pusat pengurusan mayat di Cheras, Sabtu, lalu. Abu mayatnya dituntut dan dikebumikan mengikut Islam, semalam.

Disiarkan pada: June 5, 2017 @ 2:05pm
d