mutakhir

2,812 kompaun dikeluarkan

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

JABATAN Kesihatan Negeri Kedah mengeluarkan 2,812 kompaun dengan nilai RM1.4 juta selepas mendapati 4,950 premis di negeri ini mempunyai tempat pembiakan jentik-jentik bagi tempoh Januari hingga Sabtu lalu.

Pengarahnya, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, pihaknya sudah melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan penyakit denggi serta chikungunya di seluruh negeri melalui pemeriksaan itu.

Beliau berkata, kompaun itu dikeluarkan mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975.

Menurutnya, selain itu, sebanyak 440 Notis Seksyen 8 dikeluarkan bagi arahan kerja pembersihan dan pemusnahan tempat yang berpotensi menjadi tempat pembiakan aedes.

"Sebanyak 267,700 premis juga dibuat semburan untuk membunuh nyamuk manakala 50,079 premis diletak abate bagi memusnahkan jentik-jentik aedes.

"Bagi bersama mengatasi masalah denggi dan chikungunya ini, setiap agensi perlu memainkan peranan lebih aktif serta mempertingkatkan lagi pelaksanaan pencegahan dan kawalan denggi terutama menjelang musim perayaan serta cuti persekolahan ini," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dr Norhizan berkata, pada 30 Mei lalu, satu Mesyuarat Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Denggi/Chikungunya Peringkat Negeri Kedah diadakan bagi mengatasi masalah ini.

"Sehubungan itu, diharapkan melalui tindakan bersepadu Pasukan Petugas Khas Denggi ini, Kedah dapat mengatasi wabak denggi dan chikungunya.

"Usaha pencegahan denggi ini hendaklah dilakukan secara konsisten dan berterusan oleh semua pihak," katanya.

Disiarkan pada: June 5, 2017 @ 3:49pm
d