mutakhir

Tubuh jawatankuasa khas jalan siasatan

Oleh Razif Rosli

KERAJAAN Perak bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat secara terperinci punca kapal muzium EX Kapal Diraja (KD) Rahmat mengalami kebocoran menyebabkan ia senget dan hampir tenggelam di pesisir Marina Waterfront dekat Lumut, Sabtu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, kerajaan negeri mahu kejadian itu disiasat dari segenap aspek bagi mendapatkan laporan lengkap.

Menurutnya, sebarang bentuk tindakan terhadap pengendali kapal muzium, Syarikat Plus Asiajaya Perak turut berpandukan kepada laporan penuh itu.

"Kita memang kecewa dengan apa yang berlaku ke atas EX KD Rahmat, kapal itu mempunyai nilai sejarah dan bagi kerajaan negeri kecuaian dalam memulihara sebagai kesalahan serius.

"Apa juga tindakan akan dibuat selepas jawatankuasa terbabit meneliti punca sebenar yang berlaku, buat masa ini kita kena tunggu laporan penuh," katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh, hari ini.

Kelmarin, Panglima Armada Laksamana Madya Datuk Seri Mohamad Roslan Mohamad Ramli berkata, kapal itu dipercayai bocor namun tidak dapat dipastikan di bahagian mana.

Menurutnya, kapal berkenaan pernah berkhidmat dalam TLDM dan ia sudah dilucut tauliah serta diswastakan di bawah pemantauan kerajaan negeri bagi tujuan pelancongan.

Kerja menstabilkan kapal terbabit juga sedang dijalankan oleh anggotanya dengan kerjasama Boustead Naval Shipyard (BNS) dan syarikat berkaitan.

Disiarkan pada: June 5, 2017 @ 6:09pm
d