mutakhir

Teruja dapat baju raya [METROTV]

Oleh Siti Fatimah Nasir

Subang Jaya: Sempena menyambut bulan Ramadan dan Syawal, Konsortium Lebuhraya Shah Alam Selangor Sdn Bhd (KESAS) menganjurkan program Seindah Ramadan 2017 dengan meraikan seramai 31 anak yatim dan miskin untuk persiapan Aidilfitri di Pasar Raya Mydin USJ 1 (Mydin), di sini, semalam.

Program yang dilaksanakan secara tahunan oleh KESAS dengan kerjasama Mydin dan Rumah Haluan Penyayang Darul Miftah, Bukit Naga, Seksyen 32, Shah Alam itu antara aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikatnya dalam membantu meringankan beban anak yatim miskin di kawasan Selangor.

Penolong Pengurus Keselamatan Lalu Lintas KESAS, Zainudin Mohamed Noah berkata, aktiviti CSR itu bertujuan membantu meringankan beban, sekali gus menceriakan anak yatim miskin yang memerlukan bantuan.

“Pada program ini, setiap anak yatim menerima sumbangan bernilai RM100 seorang untuk membeli kelengkapan pakaian raya dan pelbagai aksesori lain bagi menyambut Aidilfitri.

“Program yang menjadi acara tahunan bagi syarikat pengendali Lebuh Raya Shah Alam (LSA) ini amat menitikberatkan keprihatinan dan menerapkan konsep memberi semula kepada masyarakat dan komuniti sekitar LSA,” katanya ketika menghadiri program itu, di sini, semalam.

Menurutnya, kesinambungan daripada program ini, anak yatim dari rumah berkenaan turut dijemput untuk menghadiri Majlis Iftar atau berbuka puasa yang diadakan pada 8 Jun ini di Wisma KESAS, Ibu Pejabat KESAS, di sini.

“Pada majlis itu, sesi penyerahan sumbangan baju raya dan duit raya RM50 seorang akan disampaikan Pengerusi KESAS, Datuk Azmi Mat Nor kepada semua anak yatim berkenaan.

“Selain itu, KESAS turut menyumbang RM5,000 kepada rumah anak yatim berkenaan bagi meringankan beban serta membantu perbelanjaan harian mereka,” katanya.

Beliau berharap program seperti itu dapat dianjurkan secara berterusan kerana mampu membentuk konsep syarikat korporat yang lebih prihatin di samping memberi impak positif kepada pihak KESAS.

Disiarkan pada: June 6, 2017 @ 3:50am
d