mutakhir

Siasat kapal senget

Oleh Razif Rosli

Ipoh: Kerajaan negeri bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menyiasat secara terperinci punca kapal muzium Ex Kapal Diraja (KD) Rahmat mengalami kebocoran hingga menyebabkan ia senget dan hampir tenggelam di pesisir Marina Waterfront, Lumut, dekat sini, Sabtu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, pihaknya mahu kejadian itu disiasat secara menyeluruh daripada pelbagai aspek.

Menurutnya, sebarang bentuk tindakan terhadap pengendali kapal muzium iaitu syarikat Plus Asiajaya Perak (PAP) turut berpandukan kepada laporan diperoleh kelak.

“Kami kecewa dengan apa yang berlaku ke atas Ex KD Rahmat kerana kapal itu mempunyai nilai sejarah dan bagi kerajaan negeri kecuaian dalam memulihara sebagai kesalahan serius.

“Apa jua tindakan akan dikenakan kepada pengendali kapal muzim itu selepas jawatankuasa ditubuhkan meneliti punca sebenar kejadian, dan buat masa ini kami tunggu laporan penuh,” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, semalam.

Nolee Ashilin berkata, PAP selaku kontraktor yang dipertanggungjawabkan untuk membaik pulih dan menyelenggara kapal berkenaan akan menanggung segala kos operasi terbabit dalam memastikan keselamatan kapal serta mengelak kejadian sama berulang.

“Kerajaan negeri akan terus memantau obligasi PAP seperti yang terkandung di dalam perjanjian bagi memastikan keselamatan kapal dan orang ramai terpelihara.

“Punca kerosakan dalam siasatan, namun perkara yang penting sekarang menstabilkan kapal dan mengeluarkan air sebelum mengetahui punca ia tenggelam,” katanya.

Ex Kd Rahmat pernah berkhidmat dalam TLDM sebelum dilucut tauliah dan dijadikan kapal muzium yang dibuka kepada orang awam sejak 2011.

Namun, atas faktor keselamatan kapal berkenaan tidak dibuka kepada orang awam sejak 19 September lalu sebelum ia dikesan bocor dan hampir tenggelam kira-kira jam 3 pagi Sabtu lalu.

Disiarkan pada: June 6, 2017 @ 3:57am
d