mutakhir

TRX bakal hab kewangan, perniagaan antarabangsa

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berharap lebih banyak institusi kewangan asing akan menjadikan Tun Razak Exchange (TRX) yang dijangka menjadi pusat utama kewangan dan perniagaan antarabangsa sebagai hab pembangunan masing-masing.

“Seperti yang sudah sedia maklum, China Construction Bank berjanji menjadikan TRX sebagai pusat kewangan mereka dan mereka sedang berunding untuk membina menara sendiri di TRX.

“Saya berharap institusi lain akan turut serta. TRX yang membabitkan pembangunan di kawasan seluas 28.33 hektar dengan nilai pembangunan kasar RM40 bilion bakal menjadi pembangunan yang menarik dan meningkatkan nilai kawasan berkenaan,” katanya selepas melawat tapak TRX, di sini.

Beliau diberikan taklimat terkini mengenai pembangunan TRX ketika lawatan itu.

Najib yang juga Menteri Kewangan diiringi pegawai kanan kerajaan serta pegawai dari Kementerian Kewangan termasuk Ketua Setiausahanya Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah selain tetamu daripada sektor perkhidmatan kewangan.

Beliau berkata, kira-kira 70 peratus kawasan yang tersedia di TRX dikomersialkan terus memperoleh minat ketara daripada pelabur dan penyewa tempatan dan antarabangsa termasuk bank dan institusi kewangan utama dunia.

Setakat ini, TRX menandatangani perjanjian dengan kumpulan infrastruktur dan hartanah global, Lendlease, bagi membangunkan ‘Lifestyle Quarter’, pemaju hartanah utama Indonesia-Mulia Group bagi membangunkan Signature Tower, Affin Bank Bhd bagi menara pejabat dan Lembaga Tabung Haji bagi pembangunan kediaman.

Pemaju utama dunia dalam pengurusan air, Veolia Water Technologies South East Asia adalah pemegang konsesi rawatan dan kitaran semula air projek berkenaan. - BERNAMA

Disiarkan pada: June 6, 2017 @ 4:11am
d